PUTRAJAYA 6 Dis. – Pemaju utama Putrajaya, Putrajaya Holdings (PjH) melancarkan bangunan suite pejabat pertama, Ochre untuk memenuhi permintaan usahawan-usahawan yang berniat memulakan perniagaan atau mengembang operasi mereka di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Pembinaan suite pejabat tersebut turut merancakkan pembangunan di Presint 1, Putrajaya yang kini menempatkan pusat membeli-belah, hotel dan agensi kerajaan sementara beberapa projek mencuri tumpuan termasuk kediaman mewah, Shaftsbury Avenue dalam proses pembinaan.
Ketua Jabatan Jualan dan Pemasaran PjH, Sabariah Ramli berkata, pembinaan suite pejabat Ochre akan mengubah landskap pejabat di Putrajaya memandangkan kebanyakan syarikat bersaiz sederhana yang beroperasi di sini cenderung menggunakan kedai pejabat sebelum ini.
Sabariah berkata, walaupun baharu dilancarkan, Ochre berjaya mendapat sambutan menggalakkan sehingga terdapat suite di satu-satu tingkat telah dibeli secara pukal.
Beliau berkata, pembinaan Ochre juga memudahkan usahawan muda memiliki ruang pejabat sendiri mengikut keperluan masing-masing di Putrajaya.
“PjH menawarkan suite dengan keluasan antara 55 meter persegi hingga 134 meter persegi dengan harga jualan bermula RM462,000.
“Bangunan 12 tingkat ini merangkumi 155 unit suite perniagaan dijangka siap menjelang akhir 2018,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sabariah berkata, suite pejabat Ochre mempunyai kelebihan tersendiri kerana terletak bertentangan dengan pusat membeli-belah Alamanda dan Hotel Everly selain berhampiran dengan agensi-agensi kerajaan.
“Ochre justeru merupakan pilihan buat usahawan yang selalu berurusan dengan agensi-agensi kerajaan di Putrajaya.
“Kami antaranya menyasar pembeli dalam kalangan firma perunding, guaman dan audit. Suite yang ada juga sesuai dijadikan sebagai klinik pergigian, salun kecantikan dan pelbagai jenis studio,” katanya.
Dengan menawarkan pegangan secara kekal, Ochre dilengkapi 175 tempat meletak kenderaan dan teknologi penuaian hujan selain pembinaan yang menepati piawaian Sistem Penilaian Kualiti Pembinaan (Qlassic).
PjH menawarkan diskaun lima peratus untuk pembeli bumiputera dan 10 peratus rebat untuk semua pembeli Ochre.